Thursday, November 5, 2009

Nikmat Hidup.

Ibu lumpuh dapat RM1.1 juta

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Nov. - Seorang ibu yang lumpuh separuh tubuhnya akibat kemalangan jalan raya 11 tahun lalu mendapat ganti rugi hampir RM1.1 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Baharuddin Shah Tengku Mahmud turut memutuskan jumlah ganti rugi itu termasuk kos RM30,000 dibayar kepada plaintif, Nauren Abd. Manaf, 54.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulong Matjeraie dan Hakim Datuk S. Selventhiranathan turut memutuskan sebulat suara agar jumlah itu dibayar atas kadar faedah lapan peratus setahun.

Bekas ahli perniagaan itu menyaman Chew Ming Thai ekoran kemalangan yang berlaku di Kilometer 271 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada 23 Ogos 1998 di antara lori yang dipandu oleh suaminya dengan kereta yang dipandu oleh lelaki itu.

Mahkamah Sesyen Seremban pada 5 November 2004 memberinya ganti rugi am dan ganti rugi khas hampir RM1.5 juta setelah memutuskan Ming Thai selaku defendan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kecacatan dari leher ke bawah yang dialami suri rumah berkenaan.

Nauren yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu merayu ke Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Mac 2006. Bagaimanapun, beberapa ganti rugi dikurangkan menyebabkan dia merayu ke Mahkamah Rayuan.

Hari ini, panel berkenaan membenarkan rayuannya dengan memberi ganti rugi bagi kos penjagaan masa depan (RM302,400), kos kain lampin (RM93,600), kos pembedahan masa depan (RM200,000), ganti rugi am akibat lumpuh (RM400,000) dan kehilangan nikmat hidup (RM100,000).

Isnin lalu, peguam Gerald Gomez ketika berhujah mewakili Nauren menyatakan, akibat kemalangan itu, anak guamnya mengalami kesengsaraan hidup kerana laporan perubatan menyatakan dia tidak berpeluang langsung untuk sembuh kerana kecacatan itu akan merebak ke anggota lain.

Menurut peguam bela, lumpuh yang dideritai mangsa bukan kecacatan biasa kerana ia menyebabkan dia mengalami trauma seumur hidup dan memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan diri termasuk membersihkan najis.

Ketika menggambarkan keperitan hidup plaintif, Gerald memetik penghakiman Mahkamah Sesyen yang menyatakan:

''Orang lain menunggu untuk pulih sedangkan plaintif menunggu ajal sepanjang hidupnya.''

Sementara itu, peguam Shanta Mohan yang mewakili Ming Thai berhujah, tiada laporan perubatan yang mengesahkan plaintif lumpuh keseluruhan badannya.

Beliau berhujah, ganti rugi am akibat lumpuh yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen ialah RM200,000 dan jumlah itu merupakan yang tertinggi diperuntukkan oleh undang-undang bagi mangsa kemalangan yang lumpuh separuh tubuh.

p/s; RM 1 billion pun belum tentu cukup untuk kembalikan nikmat Allah S.W.T yang telah hilang.

"Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku." ( Surah Al-Baqarah, ayat 152)

Untuk kau dan aku, supaya kita beringat., =)

No comments: