Wednesday, November 24, 2010

17

Di kala aku berumur sepertinya , aku masih sibuk dengan dunia keanak2an, kenakalan tak sudah hidup seorang anak sekolah.   17 bagiku masih mentah, tapi 17 di matanya itu sangat matang. Paling menusuk kalbu apabila soalan ini menerjah minda, “ Pengorbanan apa yang aku lakukan ketika aku di usia 17 itu?” Aku tiada jawapan.. 

 Pada waktu aku sibuk memikir 1001 helah nak memonteng sekolah, dia mulakan kerja sukarela sebagai guru di sekolah rakyat walaupun masih bergelar seorang pelajar di Sekolah Methodist.  Dia sudah mula menabur keringat kepada anak bangsanya.

 Kala usia itu, tanggungjawab yang dahsyat terbeban di bahunya. Menjadi orang yang dipertanggungjawabkan untuk memulakan misi menggoncang pemerintahan British di bumi Sarawak, iaitu membunuh Sir Duncan George Stewart.

 Ya, aku berbicara mengenai  Rosli Dhobi. Manusia berani yang mati di tali gantung pada usia 17 tahun atas nama perjuangan pembebasan negara,bangsa dan agamanya.  Dan celakalah tipu daya British yang memutarbelitkan fakta surat kelahiran beliau untuk menggantung juvana 17 tahun itu sebagai orang dewasa 19 tahun.

 Pada saat aku dan kau berbicara maksud pengorbanan,dia sudah membuktikannya dengan darah dan nyawanya sendiri. Riwayat berakhir di tali gantung, dan dikuburkan British di bawah tembok penjara Penjara Kuching bersama 3 pejuang Rukun 13 lain iaitu Morshidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong tanpa bernisan. Sehinggalah pada tahun 1996 barulah jasad ketiga2nya disemadikan semula di Sibu. 

Dan ini merupakan warkah terakhir Rosli Dhobi kepada keluarga beliau sehari sebelum digantung.

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat' atau `Fardu' kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.


Aku menonton 8 episod drama Warkah Terakhir, yang pengakhirannya aku menangis tersedu2 mcam orang hilang akal! Tahniah buat casting yang mantap gila!  Tak lupa Al- Fatihah buat semuanya..


No comments: